+60 49462472 ext 317
Home News UMAM PERKUKUH VISIBILITI AKADEMIK DAN INTEGRITI MELALUI PERKONGSIAN ILMIAH DI UMSU
Back to News
News
Aug 31, 2026

UMAM PERKUKUH VISIBILITI AKADEMIK DAN INTEGRITI MELALUI PERKONGSIAN ILMIAH DI UMSU

U

UMAM Admin

UMAM Staff

UMAM PERKUKUH VISIBILITI AKADEMIK DAN INTEGRITI MELALUI PERKONGSIAN ILMIAH DI UMSU

MEDAN, INDONESIA, 21 Ogos 2026– Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) terus memperluas jaringan akademik serantau menerusi penglibatan Dr. Mutiara Dwi Sari, Pendaftar Universiti Muhammadiyah Malaysia sebagai narasumber dalam Guest Lecturer Internasional bertajuk “Improving Academic Visibility and Integrity Through Scholarly Social Media” anjuran Sekolah Pascasarjana Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU).

Program yang berlangsung di Auditorium Sekolah Pascasarjana UMSU ini memberi tumpuan kepada kepentingan memperkukuh keterlihatan akademik serta memastikan hasil penyelidikan dan karya ilmiah yang dihasilkan oleh para akademia dapat dikenal, ditemui, dibaca dan memberi manfaat yang lebih luas kepada komuniti akademik serta masyarakat.

Dr. Mutiara Dwi Sari dari UMAM tampil sebagai salah seorang narasumber bersama Assoc. Prof. Dr. Nurul Huda dari Universitas Brawijaya (UB) Malang. Program tersebut turut dihadiri oleh Wakil Rektor Bidang Inovasi UMSU, Assoc. Prof. Dr. Rudianto, Wakil Direktur Pascasarjana UMSU, Dr. Adi Mansar Lubis, para ketua dan sekretaris program studi, pensyarah serta mahasiswa. Sesi berkenaan dimoderatori oleh Dr. Muhammad Irfan.

Perkongsian tersebut turut memperkenalkan kepentingan penggunaan platform akademik seperti Web of Science, Scopus, Google Scholar, SciProfiles, Lens.org dan ORCID dalam membina rekod akademik serta meningkatkan keterlihatan hasil penyelidikan.

Bagi UMAM, keterlihatan akademik bukan sekadar berkaitan jumlah penerbitan, sitasi atau kehadiran seseorang akademia di ruang digital. Sebaliknya, ia melibatkan sejauh mana sesuatu karya ilmiah dapat ditemui, diiktiraf dan menjadi sebahagian daripada perbincangan dalam komuniti keilmuan.

Penglibatan Dr. Mutiara dalam program ini turut memperlihatkan peranan UMAM dalam perkongsian kepakaran dan pembangunan kapasiti akademik di peringkat serantau, khususnya dalam membantu warga akademia memahami kepentingan mengurus dan mengetengahkan hasil penyelidikan secara lebih strategik.

Dalam era digital, media sosial ilmiah juga mempunyai peranan penting sebagai medium untuk memperkenalkan hasil penyelidikan, berkongsi idea, membina jaringan profesional serta membuka peluang kolaborasi akademik. Pendekatan ini membolehkan karya ilmiah bergerak lebih jauh daripada sekadar menjadi dokumen penerbitan atau memenuhi keperluan akademik.

Pada masa yang sama, usaha meningkatkan visibiliti perlu sentiasa disertai integriti akademik. Kualiti, etika, ketelusan dan kejujuran ilmiah perlu menjadi asas agar peningkatan keterlihatan benar-benar membina reputasi akademik yang kukuh dan berpanjangan.

Bagi UMAM, penyertaan dalam program seperti ini selari dengan komitmen universiti untuk membangunkan ekosistem akademik yang berdaya saing, berintegriti dan berorientasikan jaringan antarabangsa. Perkongsian ilmu rentas institusi turut membuka ruang kepada pertukaran pengalaman, pembangunan kepakaran serta potensi kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.

Melalui penglibatan aktif dalam forum akademik antarabangsa, UMAM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja menghasilkan ilmu, malah berusaha memastikan ilmu tersebut dapat dikongsi, ditemukan, dimanfaatkan dan memberi impak yang lebih luas kepada masyarakat dan dunia akademik